Sabtu, 2 Februari 2013

Luahan Ayah II

Assalamualaikum adik. Dikesempatan yang ada ini setelah lebih setahun lamanya tidak menyambung penulisan penceritaan sejarah hidup adik, hari ini 3/2/2013 ayah menyambung kembali penulisan sejarah hidup adik. Pada ketika ini usia adik ialah setahun enam bulan. Adik baru sahaja pandai berjalan tepat pada sambutan bulan kelahiran adik yang ke-18. Syukur tidak terkata ayah pada Allah SWT tuhan yang maha berkuasa. Ya...menyambung kembali cerita adik...selepas mengetahui mengenai penundaan pembedahan adik pada keesokan harinya, dengan berat hati ayah terpaksa meninggalkan adik berseorangan pada malam 1 Ramadhan kerana ayah perlu hantar ibu pulang ke rumah opah di Shah Alam untuk berehat dan menjaga diri dalam tempoh berpantang. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, memang tidak sanggup meninggalkan adik bersendirian di hospital. Namun dikuatkan juga semangat. Terima kasih kepada jururawat - jururawat yang menjaga adik dengan baik sepanjang tempoh adik mendapatkan rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Sesampainya di rumah, ibu terus berehat di bilik auntie Mahirah dengan hati dan perasaan gelisah dan tidak tenang memikirkan keadaan adik di hospital. Malam itu selain menguruskan keperluan ibu, ayah juga menyiapkan segala keperluan adik sepanjang tempoh adik berada di hospital. Ibu pula menggigihkan diri cuba mengepam susu badan sebagai persiapan untuk keperluan adik ketika boleh menyusu nanti. Esok 1 Ogos 2011 (Isnin) bersamaan 1 Ramadhan 1432H, seawal mungkin lepas bersahur dalam pukul 5.00 pagi ayah telah bertolak dan sampai di Wad KK9 menanti dengan penuh debaran hari pembedahan adik. Awal ayah sampai. Surau dekat hospital itulah tempat ayah selesaikan solat Subuh. Syukur alhamdulillah ayah dapat letak kenderaan begitu hampir dengan wad adik di Istitut Pediatrik Hospital Besar Kuala Lumpur. Penat menanti,lepas seorang datang lagi seorang doktor yang datang menerangkan prosedur pembedahan dari doktor bedah, doktor medikal, doktor bius sampailah kepada nasihat-nasihat jururawat. Macam-macam lah borang ayah perlu tandatangan sampaikan ayah menjadi bimbang dan ragu terhadap risiko pembedahan yang bakal dijalankan. Berjam-jam lamanya menunggu. Selepas solat Zohor berjemaah di masjid ayah pun berehat dan melelapkan mata sekejap dalam kereta. Maklumlah ayah memang penat yang teramat. Langsung tidak berapa lama selepas itu dalam pukul 2.00 petang, ayah menerima panggilan dari wad KK9 memaklumkan adik sedang dihantar ke bilik pembedahan. Dengan pantas ayah bergegas ke bilik pembedahan yang dimaklumkan berada di bangunan utama pembedahan di HKL. Dekat 20 minit jugalah ayah menapak ke sana. Ketika tiba di lokasi rupa-rupanya bilik pembedahan ialah di Institut Pediatrik di aras satu di bawah wad adik sahaja. Menapak lagilah ayah selama 20 minit. Geram pun ada tapi disimpankan jua dalam hati. Ayah mengisi masa-masa menunggu dengan bersolat hajat memohon supaya Allah SWT memudahkan urusan dan memberi hidayah kepada doktor-doktor yang menjalankan pembedahan adik. Alhamdulillah, akhirnya setelah menunggu lebih 2 jam adik pun selesai dibedah dan dihantar semula ke Wad KK9 untuk rawatan dan pemerhatian rapi. Doktor Mr Yusof rupanya yang mengetuai pasukan pembedahan tersebut. Beliau memaklumkan pembedahan telah berjaya dilakukan. Sekarang peringkat pemerhatian. Adik dimasukkan dadah jenis morfin bagi mengurangkan kesakitan. Sehingga kesan bius hilang dan adik tidak lagi bergantung dengan alat bantu pernafasan, selapas itu baru adik akan dibenarkan menyusu sedikit demi sedikit dengan menggunakan mesin perfusion. Alhamdulillah, syukurnya tidak terhingga atas kejayaan pembedahan tersebut. Terima kasih buat Mr Yusof dan pasukan jurubedahnya yang selesai menjalankan prosedur pembedahan dengan jayanya. Bersambung....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Family Day MozaRoha

 14-15 Disember 2024 kami sekeluarga telah berkumpul … semua anak anak mohd zabidi dan Rokiah Hati seramai 12 orang dan jika dikira secara k...