Khamis, 18 Oktober 2018

Pulau Jeju kami ke sana

Jeju Island

Juga digelar sebagai “Kota Bulan Madu Korea Selatan,” Jeju Island adalah sebuah pulau indah yang  menempatkan beberapa buah destinasi yang diiktiraf sebagai tapak warisan dunia UNESCO. Kalau anda bukanlah seorang yang berjiwa romantik, jangan risau, di sinilah tempatnya untuk anda melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti mendaki, meneroka gua lava dan banyak lagi. Di sini juga terletaknya muzium terbuka yang membawa anda ke masa lalu Korea.

10. Jeju Folk Village Museum

Jeju Folk Village Museum
Sumber: All About Korea
Nak tahu bagaimana perkampungan klasik di sekitar Jeju Island? Datanglah ke Jeju Folk Village Museum untuk melihat persekitaran masa lalu ini. Dengan keluasan 40 ekar, kawasan kampung ini direka dengan penuh teliti menggunakan barangan-barangan antik yang termasuklah 1046 barangan buluh, 1627 barangan kayu dan banyak lagi.
Muzium perkampungan yang cukup realistik! Tak cukup lagi untuk membuat anda ingin datang ke sini? Kalau anda peminat drama Korea, drama Korea yang agak terkenal bertajuk Dae Jang Geum dirakamkan di sini. Apa lagi? Datang jangan tak datang!
Waktu Operasi:
Okt – Feb: 8.30am – 5.00pm
Mac: 8.30am – 5.30pm
Apr – 15 Jul: 8.30am – 6.30pm
16 Jul – Ogos: 8.30am – 6.30pm
Sep: 8.30am – 6.00pm
Bayaran: Dewasa 10,000 Won | Remaja 7,000 Won | Kanak-kanak 6,000 Won | Warga Emas 8,000 Won
Alamat: 631-34, Minsokhaean-ro, Pyoseon-myeon, Seogwipo-si, Jeju-do

9. Manjanggul Cave

Manjanggul Cave
Sumber: Shin’ya Kawamura
Manjanggul Cave adalah antara tapak warisan UNESCO di Korea. Untuk pengetahuan anda, Manjanggul Cave adalah salah satu daripada gua atau terowong yang terpanjang di dunia. Yang menariknya tentang terowong ini adalah kerana ia sebenarnya terbentuk hasil daripada aliran lava pada suatu ketika dahulu.
Kepanjangannya adalah dalam sekitar 8 ke 9 km, namun, hanya 1 km sahaja yang dibuka kepada pelancong. Yang dibuka ini pun sudah cukup mencabar untuk dilalui kerana keadaan yang agak malap dan permukaan jalan yang licin. Suhu di dalam gua ini juga agak sejuk. Sekiranya anda ingin menerokai gua ini, pastikan anda memakai pakaian yang tebal dan kasut yang tahan licin.
Waktu Operasi: 9.00am – 6.00pm
Bayaran: Dewasa 2,000 Won | Remaja & Kanak-kanak 1,000 Won
Alamat: 182, Manjanggul-gil, Jeju-si, Jeju-do

8. Teddy Bear Museum

Teddy Bear Museum Jeju
Sumber: Ida Sim Jie Yin
Banyak juga sebenarnya lokasi menarik di Korea yang telah dijadikan lokasi filem terkenal, Teddy Bear Museum adalah salah satunya.  Drama Korea yang dirakamkan disini adalah Princess Hours.
Bagi anda yang tak minat dengan filem Korea pun, mesti anda teringin melihat bagaimana rupa teddy bear-teddy bear di sini dalam karektor yang berbeza seperti Elvis Presley, Marilyn Monroe, Madonna dan lain-lain kan? Sebuah pameran yang cukup unik! Salah satu pameran yang terdapat di sini juga adalah pameran teddy bear yang sudah berusia sekitar 100 tahun lebih, lengkap dengan gambarnya bersama dengan pemilik-pemiliknya pada ketika dahulu.
Waktu Operasi: 9.00am – 7.00pm | Musim Panas (9.00am – 10.00pm)
Bayaran: Dewasa 10,000 Won | Remaja 9,000 Won | Kanak-kanak 8,000 Won
Alamat: 31, Jungmungwangwang-ro110beon-gil, Seogwipo-si, Jeju-do

7. Jungmun Beach

Jungmun Saekdal Beach
Sumber: Marisa Aldaiz
Jungmun Beach adalah sebuah pantai yang agak unik dengan pasir yang pelbagai warna seperti merah, hitam, putih dan kelabu. Pantai yang indah ini sering dijadikan lokasi drama-drama Korea. Di sekitar kawasan pantai ini juga terdapat tebing yang kaya dengan pelbagai jenis fauna yang eksotik. Alang-alang ke pantai ini, jangan lepaskan peluang melawat kawasan tebing ini.
Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah menaiki kapal layar, menyelam skuba, ski air, parasailing dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, paras air di kawasan pantai ini agak dalam, pastikan anda memakai jaket keselamatan ataupun pelampung kalau mahu bermandi-manda di sini, lebih-lebih lagi sekiranya anda bukanlah perenang yang hebat.
Alamat: Jungmungwangwang-ro 72beon-gil, Seogwipo-si, Jeju-do

6. Jeju Waterworld

Jeju Waterworld
Sumber: Lucky Llanes
Sudah puas melawati pelbagai destinasi di sekitar Jeju, badan pun sudah penat, apa lagi cara terbaik untuk melegakan badan kalau bukan di taman tema air? Bukan itu sahaja, di Jeju Waterworld juga terdapat sauna, spa, pusat kecergasan, kampung herba dan tempat bermain golf indoor.  Lokasi yang tepat untuk anda bersantai bersama keluarga sebelum meneruskan siri penjelajahan di Pulau Jeju.
Waktu Operasi: Bukan Musim Cuti 10.00am – 7.00pm | Musim Cuti 10.00am – 9.00pm
Bayaran:
All-Day Pass: 10.00am – 8.00pm 26,000 Won
Tiket Petang: 2.00pm – 8.00pm 21,000 Won
Percuma: Bawah 3 Tahun
Alamat: 31, World cup-ro, Seogwipo-si, Jeju-do, Korea

5. Seongsan Ilchulbong

Seongsan Ilchulbong
Sumber: Travel More, Pay Less
Nama lain yang diberikan kepada Seongsan Ilchulbong adalah Seongsan Sunrise Peak. Lihat sahaja bentuknya yang unik seperti mahkota ini, sehinggakan ia diiktiraf sebagai salah satu daripada 7 keajaiban dunia dan kawasan pertama yang diiktiraf sebagai tapak warisan oleh UNESCO.
Seongsan Sunrise Peak ini terbentuk sekitar 100,000 tahun yang lalu selepas sebuah letusan gunung berapi di permukaan lautan berlaku. Satu fenomena alam yang cukup mengujakan.
Waktu Operasi: Musim Panas 7.10am – 7.00pm | Musim Sejuk 7.30am – 6.00pm
Alamat: 284-12, Ilchul-ro, Seongsan-eup, Seogwipo-si, Jeju-do

4. Jeongbang Falls

Jeongbang Falls
Sumber: Lurima Travel
Antara salah satu tempat menarik di Korea yang menjadi sasaran pelancong tempatan dan antarabangsa adalah Jeobang Falls. Jeongbang Falls adalah satu-satunya air terjun yang mengalir jatuh terus ke dalam lautan di Asia. Untuk menikmati pemandangan yang betul-betul indah Jeongbang Falls ini anda boleh menuju ke ruang pemerhatian yang terletak di tebing. Walau bagaimanapun, sekiranya anda ingin mendekati air terjun ini, anda perlu berhati-hati kerana batuan di sini agak licin.
Waktu Operasi: 8.00am – 6.00pm
Bayaran: Dewasa 2,000 Won | Kanak-kanak 1,000 Won
Alamat: Chilsimni-ro 214beon-gil, Seogwipo-si, Jeju-do

3. Cheonjeyeon Waterfall

Cheonjeyeon Waterfall
Sumber: World Landscapes
Cheonjeyeon Waterfall adalah air terjun tiga tingkat yang unik dan sangat indah. Di bahagian timur air terjun ini terdapat sebuah gua yang mengeluarkan air membentuk air terjun tingkat pertama, dari sini air terkumpul di dalam kolam yang menjadikan air terjun yang kedua, dan air terjun yang terakhir sekali mengalirkannya ke dalam laut. Untuk melihat kesemua peringkat air terjun ini, anda perlu menaiki anak tangga yang agak banyak, alang-alang dah sampai tu, gigihkanlah diri ya, barulah berbaloi.
Waktu Operasi: 8.00am – 6.00pm
Bayaran: Dewasa 2,500 Won | Remaja & Kanak-kanak 1,350 Won
Alamat: 27, Saekdal-ro 189beon-gil, Seogwipo-si, Jeju-do

2. O’Sulloc Tea Museum

O’Sulloc Museum
Sumber: Sublimeholic
Dengar nama muzium ini, O’Sulloc Tea Museum, apa yang anda bayangkan? Macam galeri seni pula kan, tapi sebenarnya ini merupakan sebuah muzium teh yang memiliki rekaan dalaman yang agak elegan dikelilingi dengan tanaman teh hijau. Di dalam muzium ini anda dapat melihat sejarah pembuatan teh, di sebelah muzium ini pula terdapat kedai yang menjual pelbagai produk yang berasaskan teh termasuklah kosmetik.
Jangan lupa untuk mencuba teh panas secara percuma di kedai ini. Di samping itu, terdapat juga bangunan yang digelar Tea Stone yang memiliki rekaan dalaman yang cukup menarik dengan tingkap yang luas menyajikan pemandangan penuh kehijauan di luar. Di Tea Stone, anda dapat menyaksikan bagaimana upacara teh diadakan dan mempelajari lebih banyak tentang budaya meminum teh di Selatan Korea.
Waktu Operasi: 9.00am – 6.00pm
Bayaran: Percuma
Alamat: 15, Sinhwayeoksa-ro, Andeok-myeon, Seogwipo, Jeju Island 63521, South Korea

1. Mount Hallasan

Mount Hallasan Jeju Island
Sumber: Jeju Tourism Organization
Percutian anda di Korea tidaklah sempurna sekiranya tidak menuju ke Mount Hallasan. Di sinilah pemandangan ibarat syurga dapat anda saksikan kerana kepelbagaian spesies tumbuhannya, bukan sedikit tapi begitu banyak sekali iaitu dalam sekitar 1,800 jenis kesemuanya.  Fauna yang terdapat di sini pula adalah dalam sekitar 4,000 spesies. Atmosfera segar dan menakjubkan yang ditawarkan di gunung ini dapat anda nikmati dengan pendakian yang agak mencabar.
Waktu diambil untuk mendaki dan turun dari gunung ini bagi yang jarang-jarang melakukan aktiviti lasak adalah dalam sekitar 10 jam. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, inilah yang boleh dikatakan tentang gunung indah Hallasan. Panorama indah yang ditawarkan membuatkan anda terlupa segala penat-lelah.
Alamat: 2070-61, 1100-ro, Jeju-si, Jeju-do
Banyak sekali tarikan yang ditawarkan Korea Selatan ini. Seminggu pun tak cukup untuk melawat kesemuanya. Kalau anda ingin memaksimakan destinasi-destinasi yang dapat anda sekeluarga lawati semasa di Korea nanti, rancanglah perjalanan anda dengan teliti sebab bukan selalu dapat terbang ke negara orang ini. Walau bagaimanapun, sebelum anda ke sana, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk membuat tempahan hotel dengan harga yang murah. Dah tempah hotel, baru senang hati.
Jangan buang masa lagi, lagi cepat anda packing, lagi cepatlah anda dapat menemui selebriti K-Pop tercinta anda! Annyeong!

2 ulasan:

  1. Terima kasih sebab share tempat-tempat menarik di Jeju. Dan Jeju ni memang sesuai untuk yang minat nature.

    BalasPadam
  2. Antara tempat-tempat paling menarik di Korea paling seronok bagi saya ialah di Cheonjeyeon Waterfall & Mount Hallasan. Tiada tandinganya, terasa seperti di Zaman Korea kuno. :D

    BalasPadam

Family Day MozaRoha

 14-15 Disember 2024 kami sekeluarga telah berkumpul … semua anak anak mohd zabidi dan Rokiah Hati seramai 12 orang dan jika dikira secara k...